PPIK PEKAN PENDANG

Pekan Pendang terletak kira-kira 30km dari Bandar Raya Alor Setar dan merupakan pusat pentadbiran Daerah Pendang. Pertanian merupakan aktiviti sosioekonomi utama penduduk di Daerah Pendang. Tidak hairanlah jika ke Daerah Pendang, pengunjung akan disajikan dengan panorama yang indah. Sepanjang perjalanan dari Alor Setar, sawah padi yang berada di kiri dan kanan jalan raya menjadi “peneman setia” pengunjung. Penduduk Daerah Pendang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan juga masyarakat siam.

Nama “Pendang” dikatakan berasal daripada nama “Pendiat” yang bermakna parit atau lubang yang digali khas untuk menangkap dan menjinakkan gajah. Gajah-gajah yang telah dijinakkan akan dimandikan di telaga sejarah yang terdapat berhampiran Balai Polis Daerah Pendang. Menurut sejarah, telaga ini adalah telaga asal dan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau yang panjang.

Statistik bancian penduduk dari Pejabat Daerah dan Tanah Pendang menunjukkan jumlah penduduk di Daerah Pendang pada tahun 2007 adalah lebih kurang 112,000 orang. Jika dilihat kepada statistik ini, kaum Melayu merupakan majoriti penduduk di Daerah Pendang. Masyarakat Melayu di sini masih mengamalkan gaya hidup dan budaya orang Melayu sejak dari dulu lagi. Mereka saling hormat-menghormati dan bantu-membantu antara satu sama lain. Kehidupan di kampung-kampung di Daerah Pendang tidak banyak bezanya dengan gaya hidup di kawasan lain.

Sementara itu, jumlah penduduk masyarakat Siam yang berasal dari Thailand pula merupakan populasi yang kedua terbesar di Daerah Pendang dan kebanyakannya tinggal di kawasan kampung. Mereka ini terlibat dalam aktiviti pertanian seperti penanaman padi dan getah. Manakala, kaum Cina dan India pula masing-masing mempunyai jumlah sekitar 3,821 orang dan 203 orang.
1 Response
  1. Anonymous Says:

    aiiii cntik


Post a Comment